Kenali toksu…Part 1

Tak kenal maka tak cinta….

Toksu dilahirkan di kampung Kuala Ibai dekat Kuala Terengganu sebelum 16 Februari 1954. Orang Terengganu kata Ganung. Dibesarkan di Kampung Rusila. Di zaman kanak-kanak pernah bermain bolasepak dengan bercawat getel bersama-sama Ayahcik Tuan Guru Dato’ Haji Abdul Hadi Awang. Mengenali Lubuk Mandi sebelum bersekolah lagi. Masa itu ular sawa sebesar batang pinang dan Harimau berkeliaran di sekitar Lubuk Mandi.  Pernah lihat ular sawa yang ditembak selepas menelan anak lembu orang kampung dan seekor harimau belang yang ditembak juga selepas membaham seekor lembu.  Memasuki darjah 1 di Sekolah Kebangsaan Rusila pada tahun 1961 hingga 1966. Pada tahun 1967 memasuki Remove Class di Sultan Sulaiman Secondary School. Maklum sajalah dari sekolah melayu kampung nak masuk sekolah Inggeris terpaksalah melalui Remove Class dulu. Kalau di Sabah dipanggil Bridge Class. Masa ini School Fees kena bayar dan buku teks beli sendiri. Masa ni juga betis dah berbulu tapi pakai seluar pendek!! Sebab itulah masa tu orang kampung kata sekolah ni sekolah kapir

Tahun 1968  masuk Form One dan sudah boleh berbahasa Inggeris. Semua sabjek diajar dalam Bahasa Inggeris kecuali Bahasa Malaysia dan Agama. Depan Sir/Teacher kalau cakap melayu kena denda. Pada tahun 1968 juga kumpulan pertama pelajar perempuan  dari Sabah ditempatkan di asrama di sekolah toksu dan pelajar lelaki  di Sekolah Menengah Padang Midin Kuala Terengganu.  Toksu tak tinggal di asrama  tapi hari-hari berbasikal ke sekolah sejauh 4 batu. Toksu aktif bersukan dan berpengakap, sebab itulah toksu ramai kawan dari sabah yang rata-ratanya aktif bersukan. Semasa di sekolah ini toksu mewakili sekolah dalam acara 100M, 200M, Relay 4X100M dan 4X400M dan juga Bolasepak. Kawan-kawan dari Sabah yang saya masih ingat nama-nama mereka ialah Saidil Semoi, Mazni Shuib, Harun Warso, Jahan Gijah ( kawan se khemah semasa Jambori Malaysia ke 2 di Air Keroh Melaka), Malianah Ugau, Noraini Sadi, Inah Lumbok. Maaf yang lain tu dah lupa namanya. Tahun 1970 lulus cemerlang LCE ( Lower Certificate of Education ) – samalah SRP/PMR. Masuk Form 4 Science2 beberapa hari saja.

Tahun 1971 menyambung pelajaran ke Technical Institute ( SM Teknik) Alor Akar Kuantan, Pahang. Terlepas orientasi kerana masa itu dipanggil temuduga  di RMC ( Royal Millitary College)  Sungai Besi Kuala Lumpur.Berjaya melepasi ujian fizikal dan kesihatan tapi kecundang dalam Speaking. Apa tidaknya ucapan spontan dalam English depan pegawai tentera… kantoi beb. Sedih juga meninggalkan RMC setelah seminggu mengharungi cabaran.  Balik semula ke TI Kuantan.

Di TI Kuantan toksu mengikuti jurusan Building Construction. Di antara sabjek yang diajar ialah Building Construction, Survey, Geometrical and Building Drawings, Physic, Chemistry, Malaysian Studies. Kerana terlalu aktif bersukan pelajaran terabai.Masa ini tinggal di asrama dan berjauhan dari ibu bapa, tiada siapa nak tegur. Kaunselor belum ujud lagi. Kalau menang perlawanan dapat pujian menggunung  Tahun 1971 dan 1972 terlalu kerap mewakili MSS Pahang dan juga Pasukan Negeri Pahang dalam Ragbi dan Bolasepak. Dalam permainan Ragbi toksu bermain sebagai Wing dan pernah bermain menentang Cobra di padang Selangor Club Kuala Lumpur, di Ipoh dan di Penang. Dalam bolasepak toksu bermain sepasukan bersama Jamal Nasir(Datuk)  Darvendran, Mazlan Koris, Ahmad Fuad dan yang lain tu dah lupa namanya. Tahun 1972 juga menduduki peperiksaan MCE (SPM). Memang  seperti yang diramalkan, keputusannya menyedihkan.. dapat Gred 3. Tambah sedih lagi bila kawan-kawan dapat menyambung pelajaran ke Luar negara seperti Jerman, Jepun dan lain-lain. Paling tidak ke  ITM Shah Alam, ITK Jalan Gurney KL ( sekarang UTM).

Tahun 1973 membawa diri ke Kuala Lumpur. Satu tahun lebih bekerja di kilang pembuatan barangan elektrik. Malu nak jumpa kawan-kawan. Masa ini baru sedar rupa-rupanya kecemerlangan akademik mengatasi segala-galanya. Namun begitu cita-cita untuk menjadi guru masih belum padam lagi. Kerja di kilang pun ada tempoh percubaan juga. Lepas 3 bulan baru confirm. Dah confirm barulah dapat uniform kilang. GM nya orang Korea. Setelah setahun lebih bekerja di situ toksu pun beri notis berhenti kerja…… ( bersambung)

One response

29 11 2008
Jebat

bermula lah kisah seorang EOS dan tok su!




%d bloggers like this: